Jumaat, 14 Disember 2012

“APA main masuk sahaja ke gelanggang tidak memberi salam ini!” teriakan Haris membuatkan permainan terhenti.

Masing-masing terkejut melihat kemunculan Niyaz secara tiba-tiba yang mengganggu latihan mereka. Niyaz tidak menghiraukan amaran, sebaliknya terus meluru ke arah Arumi yang ketika itu baru sahaja melemparkan bola masuk ke dalam jaring.

Tanpa sebarang amaran, Niyaz menerjah, terus menekan lengan ke leher Arumi, mendorong jejaka itu ke belakang sehingga terus tertampan ke tiang penyangga lingkaran jaring. Bergegar tiang itu.Terkejut dengan tindakan Niyaz, Arumi pantas menolak tubuh Niyaz yang tingginya kurang lima inci daripadanya. Arumi tidak menyangka, Niyaz begitu berani menyerangnya.

“Apa masalah awak ini?” sergah Arumi selepas berjaya menjauhkan diri daripada Niyaz.

“Awak menyusahkan Aiyani sekeluarga!” balas Niyaz dengan tangan terkepal penumbuk.

Arumi tertegun mendengar tohmahan yang dilemparkan oleh Niyaz. Junior itu selama ini dilihatnya sebagai seorang yang tidak banyak cakap dan terlalu merendah diri. Tetapi sekarang ini, Arumi terkejut melihat Niyaz berdiri dengan rahang terkatup keras, mata menyinar datar namun terkesan cukup bahaya. Tingkah aneh Niyaz membuatkan Arumi sedar Niyaz bukan main-main! Bahkan Rida, Haris, Danish, dan yang lain-lain segera mengambil posisi siaga.

“Apa maksud awak? Bila masa saya menyusahkan dia sekeluarga?” tanya Arumi, cuba berlagak angkuh, tetapi sebenarnya dia agak cemas.

“Sejak kali pertama awak bertembung dengan dia, awak sudah pun menyusahkan Aiyani!”

Arumi mula tidak dapat menahan sabar. Darah panas terasa menyirap naik ke kepala. “Apa kena-mengena Aiyani dengan awak? Awak fikir awak penjaga dia? Sudah tempang begitu, buatlah cara tempang dan jangan berlagak seperti jaguh!” Arumi menghina, dengan tujuan dapat melumpuhkan semangat Niyaz dan dia akan segera beredar pergi akibat malu.

Namun, Niyaz masih tidak berganjak, malah melemparkan pandangan menentang. “Ya! Sebagai kawan, saya memang melindungi dia! Jadi, lebih baik awak jauhkan diri daripada dia!”

Sebaris ayat terakhir itu menyentap Arumi. Segera, dia teringatkan surat hitam yang diterimanya. Matanya mulai berapi. “Jadi, awaklah orangnya!”

Niyaz berkerut dahi, tidak mengerti, tetapi tidak sempat berfikir apabila Arumi menerkam seperti singa kelaparan. Niyaz mengelak serangan itu dengan mengelakkan tubuhnya ke kiri. Arumi yang terlajak ke hadapan segera balik badan dengan gerakan tiba-tiba. Tangannya menghnujam tumbukan, tetapi Niyaz berjaya mencengkam lengan Arumi, sekaligus kakinya menyangga kaki Arumi.

Sekelip mata, Arumi jatuh ke lantai. Kemudian, dengan gerak tangkas dan terlatih, Niyaz menggunakan jurus mengunci lawan yang dipelajari dalam ilmu silat sejak kecil. Arumi tersepit di antara dua kaki Niyaz sebelum lutut Niyaz menekan dadanya. Mendadak, suasana gelanggang menjadi sepi.

Semua yang menyaksikan terperanjat. Ternganga mulut mereka tidak percaya melihat Niyaz berjaya menjatuhkan Arumi dengan gerakan sepantas kilat. Selama ini mereka hanya melihat Arumi yang berjaya menewaskan ramai lawan. Tetapi siapa sangka, Niyaz yang capik itu, rupa-rupanya diam-diam berisi. Tidak ubah seperti panglima si Bongkok Tanjung Puteri, lagenda negeri Johor yang dilahirkan cacat, tetapi mahir bermain senjata.

“Ya, betul kaki saya tempang dan saya tidak dapat menyepak bola sekencang dahulu lagi, tetapi saya masih dapat bersilat dengan baik!” desis Niyaz tepat pada muka Arumi. Sekiranya Arumi boleh berlagak, dia juga boleh. Selama ini dia menyembunyikan kehandalannya dalam ilmu persilatan. Tetapi berhadapan dengan Arumi yang angkuh, lebih baik digunakan sahaja ilmu itu supaya Arumi sedar tinggi ataupun rendahnya langit!

 Thanks A Lot For Read This ! ^o^